Selawat ke atas Rasulullah (S.A.W.) merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.
Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang
yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam
penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]
Manakala di dalam
hadith-hadith Rasulullah (S.A.W.), terdapat banyak arahan dan
kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas
baginda (S.A.W.), antaranya :-
- Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barangsesiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a]
- Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a]
- Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barangsesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a]
Kedudukan selawat ke
atas nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut
sebilangan besar ulama’. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi
menyatakannya sebagai ijma’ ulama’. Apa yang diperselisihkan oleh ulama’
ialah adakah selawat itu wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama
Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah ianya sunat (bagi yang bersepakat
menyatakan ianya wajib seumur hidup).
Dalam hal ini,
sebahagian ulama’ menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama
Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di
sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama
Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib
memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai
sekali seumur hidup.
Menurut jumhur ulama
dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan
jalan mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih
dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap
waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim
memperbanyakkannya.
Berkait juga dengan
soalan yang dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang.
Perkara ini berlaku khilaf di kalangan ulama’. Menurut pandangan Mazhab
Syafei dan Hanbali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah
sembahyang tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi,
selawat merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya
tetapi dalam keadaan yang makruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan